Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham(Aba Ishak).Dia berkata: "Wahai Aba Ishak!Selama ini aku gemar bermaksiat.Tolong berikan aku nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Aba Ishak berkata: "Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya,maka boleh kamu melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya, "Apakah syarat-syarat itu,wahai Aba Ishak?" Ibrahim bin Adham berkata:
SYARAT PERTAMA: "Jika kamu bermaksiat kepada Allah,jangan memakan rezeki-Nya."
Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata: "Dari mana aku mahu makan?Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?" "Ya!"tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu sudah memahaminya,masih mahukah memakan rezeki-Nya,sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar larangan-Nya?" "Apakah syarat keduanya?"soal lelaki tersebut. Lantas Aba Ishak menjawab:
SYARAT KEDUA: "Kalau kamu bermaksiat,jangan tinggal di bumi-Nya."
Syarat ini membuat lelaki itu terkejut separuh mati. Ibrahim kembali berkata kepadanya: "Wahai hamba Allah,fikirkanlah,apakah kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya,sedangkan kamu melanggar segala larangan-Nya.?" "Ya!Anda benar"kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga.Ibrahim menjawab:
SYARAT KETIGA: Kalau kamu masih mahu bermaksiat,carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya.
Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata: "Wahai Ibrahim,ini nasihat macam mana?mana mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya ,kalau memang yakin demikian,apakah kamu masih berkeinginan melakukan maksiat?"kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.Ibrahim melanjutkan:
SYARAT KEEMPAT: "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,katakanlah kepadanya, "Ketepikan kematianku dulu.Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh". Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan tersedar dan berkata: "Wahai Ibrahim,mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?" "Wahai Abdullah,kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu,lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?" "Baiklah,apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab:
SYARAT KELIMA: "Kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di Hari Kiamat nanti,jangan engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuatkan lelaki itu insaf.Dia berkata: "Wahai Aba Ishak,sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya." Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim.Air matanya bercucuran . "Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah"katanya sambil teresak-esak.