> Eksplorasi Memburu Hidayah!

Eksplorasi Memburu Hidayah!

Posted on Monday, November 23, 2009 | 1 Comment

Hidayah, kurniaan daripada Allah kepada manusia sebagai kompas dalam mengharungi belantara kehidupan. Tanpanya, kembara manusia di dunia akan kehilangan arah. Dan apabila hilang arah di dunia, binasalah kita di alam seterusnya.

Umar bin Abdul Aziz pernah berkata , " Manusia diciptakan untuk selamanya. "

Mengapa beliau berkata demikian? Ini kerana apabila manusia diciptakan buat kali pertama, dia akan terus 'hidup' dan mengembara dari satu alam ke alam yang lain. Bermula dari alam roh, ke alam rahim, kemudiannya ke alam dunia, ke alam barzakh dan akhirnya ke alam akhirat. Kembara ini hanya akan berakhir sama ada di syurga atau neraka. Sampai bila kita berada di alam akhirat? Sampai bila-bila!

Namun, sebelum tiba di titik pengakhiran itu, kita adalah pengembara. Adakalanya bersama jasad, ada masanya hanya dengan roh sahaja. Kembara di setiap alam sememangnya berbeza. Ujiannya dan cabarannya turut berlainan. Maka, ujian ini menuntut peranan dan tindakan berbeza pula.

Kini, kita berada di alam dunia, alam yang disifatkan oleh Rasulullah sebagai 'negara bala dan ujian'. Dalam alam inilah, perilaku kita dinilai oleh Allah. Prestasi kita di dunia amat penting kerana penilaian inilah yang menentukan 'prestasi' pengembaraan kita di kemudian hari. Apa tidaknya, kembara kehidupan ini bagai satu susunan domino, saling berkaitan. Cara hidup kita menentukan cara mati, cara mati menentukan cara kita dibangkitkan di padang mahsyar, dan akhirnya, ia akan menentukan sama ada kita akan ke syurga atau neraka. Pendek kata, jika pangkal susunan domino itu betul, maka, yang menyusul seterusnya juga betul. Jika pangkal susunan salah, maka, rosaklah seluruh domino itu.

Maka, kita memerlukan kompas dalam pengembaraan ini, iaitu ' Kompas Hidayah'. Sebagaimana yang kita ketahui, Allah Maha Berkehendak. Jika Dia Menghendaki kita memperoleh hidayah, maka beruntunglah kita. Jika sebaliknya, jadilah kita insan yang rugi.

Namun, alangkah bertambah ruginya jika kita tergolong dalam golongan yang disebutkan Rasulullah, ( dalam hadis yang diriwayatkan oleh atTarmizi, no 3253 )

" Tidaklah sesat sesuatu kaum itu setelah mereka mendapat hidayah melainkan orang yang suka bertengkar. "

Bagi kita yang bercita-cita untuk mendekatkan diri kepada Allah, apa yang kita bimbangkan di dalam sesuatu perbalahan bukanlah menang atau kalah, tetapi hilangnya hidayah! Kompas rosak, hasil perebutan dua pengembara. Pengembara 'A' bertegas mahu ke timur, pengembara 'B' tetap mahu ke barat. Masing-masing tidak mahu beralah. Namun, apabila kompas telah rosak, semuanya punah wal ranah. Ke mana pengembaraan ini perlu diarah sedangkan kompas telah musnah. Kompas kehidupan tidak boleh ditukar ganti, jauh sekali dijual beli. Kerana Hidayah milik Allah!

Alangkah baiknya jika kedua-dua pengembara ini berpakat secara baik. Sudah tentunya kompas itu masih boleh dimanfaatkan. Semoga kita sama-sama menjadi orang-orang yang beruntung. Hargailah Hidayah yang dikurniakan kepadamu dan manfaatkanlah ia. Kerana seseorang yang mendapat Hidayah dan Petunjuk dari Allah, bukan sahaja tahu apa erti sebuah kebaikan, tetapi juga mahu dan mampu untuk melakukannya. Dan tidak mustahil untuk dia merubah dunia!

Comments:1

Unknown said...

kita telah menghampiri,tinggal ambil+digunakan.guna+kita akan menjadi seuntunguntung hamba.

Powered by Blogger.